Sunday, August 31, 2008

Ahlan ya Ramadhan

Peperangan Badar di bulan RAMADHAN...


PADA 17 Ramadan berlaku peristiwa yang bersejarah dalam sirah Rasulullah s.a.w iaitu Perang Badar pada tahun 2 Hijrah di Kota Badar. Pertembungan itu adalah antara hak dan batil iaitu Rasulullah dan sahabatnya seramai 313 orang dengan bala tentera Abu Jahal dari Mekah seramai 1,000 orang.

Kemenangan berpihak kepada Rasulullah s.a.w. kerana pertolongan Allah s.w.t.. Benarlah firman Allah dalam surah Al-Imran, ayat 123, yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah memberi kemenangan kepada kamu dalam Peperangan Badar, sedangkan kamu berada dalam kelemahan. Oleh itu bertakwalah kepada Allah supaya kamu bersyukur.

Yakni Allah memberi kemenangan kepada mereka. Dia memberi kemenangan kepada mereka, kerana satu nikmat yang dijelaskan dalam kumpulan ayat-ayat ini. Tiada siapa yang dapat menolong mereka sama ada daripada kalangan diri mereka atau kalangan yang lain daripada mereka (melainkan Allah s.w.t).

Oleh kerana itu apabila mereka berasa bimbang dan takut, maka hendaklah mereka bertakwa dan takut kepada Allah yang memiliki kemenangan dan kekalahan.

Dialah sahaja yang memiliki kekuatan dan kekuasaan. Semoga takwa itu dapat membawa mereka kepada kesyukuran, iaitu kesyukuran yang sempurna dan layak dengan nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka dalam setiap keadaan.

Inilah sentuhan pertama ketika mereka diperingatkan dengan kemenangan dalam Perang Badar. Ayat yang berikut menayangkan pemandangan peperangan itu dan menghidupkan gambarannya dalam perasaan mereka seolah-olah mereka berada dalam peperangan itu pada saat ini. Firman Allah yang bermaksud: (Kenangilah) ketika engkau berkata kepada orang-orang Mukmin: Apakah tidak cukup Tuhan kamu membantu kamu dengan tiga ribu malaikat yang diturun (dari langit)? (Al-Imran: 124)

Seterusnya firman Allah lagi, Ya sebenarnya cukup! Jika kamu bersabar dan bertakwa dan tiba-tiba mereka menyerang kamu pada masa mereka ini juga nescaya Tuhan kamu membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda. (Al-Imran: 125)

Inilah kata-kata Rasulullah pada hari Perang Badar kepada sekumpulan kecil kaum Muslimin yang keluar bersama baginda. Mereka melihat angkatan perang kaum Musyrikin yang ramai, sedangkan tujuan mereka keluar adalah untuk menghadapi kumpulan unta yang membawa dagangan-dagangan bukan untuk menghadapi kumpulan angkatan perang yang lengkap dengan alat-alat senjata.

Rasulullah s.a.w. menyampaikan kepada mereka apa yang disampaikan Allah kepadanya pada hari itu untuk menguatkan dan memberanikan hati mereka kerana mereka adalah manusia yang memerlukan kepada pertolongan dalam bentuk yang dekat dengan perasaan, pandangan dan kebiasaan mereka.

Baginda juga menyampaikan kepada mereka syarat pertolongan itu iaitu sabar dan takwa, bersabar menerima kejutan serangan dan menaruh perasaan takwa yang menambat hati mereka dengan kemenangan dan kekalahan.

Firman Allah, Ya sebenarnya cukup! Jika kamu bersabar dan bertakwa dan tiba-tiba mereka menyerang kamu pada masa mereka ini juga nescaya Tuhan kamu membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang memakai tanda. (Al-Imran: 125)

Allah s.w.t. mengajar mereka bahawa segala urusan itu terpulang kepada Allah dan segala punca kuasa bertindak itu adalah daripada Allah belaka dan turunnya para Malaikat itu tidak lain melainkan semata-mata untuk menjadi berita gembira kepada hati mereka agar berasa senang dan tenteram. Ada pun mengenai kemenangan, ia adalah secara langsung merupakan urusan Allah.

Ia bergantung kepada takdir dan iradat Allah s.w.t. tanpa wasitah, tanpa sebab dan tanpa wasilah. Firman Allah yang bermaksud: Dan Allah tidak menjadikan bantuan itu melainkan sebagai berita gembira kepada kamu dan supaya hati kamu menjadi tenteram dengannya dan tidak kemenangan melainkan daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Al-Imran: 126)


Pengajaran :
Demikianlah ayat al-Quran ini memberi perhatian yang berat mengembalikan segala urusan kepada Allah supaya tidak terlekat dalam kefahaman seorang Muslim sesuatu tanggapan yang boleh menodai dasar ini. Ia adalah dasar mengembalikan segala urusan kepada kehendak masyi’ah Allah yang mutlak dan kepada iradat-Nya yang langsung.

Di samping itu, ia mengetepikan sebab-sebab dan wasilah-wasilah itu hanya merupakan alat yang digerakkan oleh kehendak masyi’ah Allah atau sebagai alat untuk mewujudkan sesuatu yang dikehendaki oleh-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: Dan tidak kemenangan melainkan daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Al-Quran memberi perhatian yang berat menjelaskan dasar ini dalam pandangan dan kefahaman Islam di samping membersihkannya daripada segala noda dan mengenepikan sebab-sebab yang lahir, wasilah-wasilah dan alat-alat sebagai punca kuasa yang bertindak. Ini supaya hubungan secara langsung antara hamba dengan Allah kekal dan tidak terjejas.

Ia juga supaya hubungan terus antara hati mukmin dengan takdir Allah berlaku tanpa dinding-dinding, tanpa sekatan dan tanpa wasilah-wasilah dan wasitah-wasitah sebagaimana keadaannya yang wujud di alam hakikat.

Berkata al-Syahid Sayid Qutb, kemenangan dalam Perang Badar terdapat bau mukjizat, sebagaimana kami jelaskan sebelum ini iaitu kemenangan itu dicapai tanpa alat-alat kelengkapan kebendaan yang biasa digunakan untuk mendapat kemenangan.

Imbangan neraca kekuatan antara kaum Muslimin dan kaum Musyrikin dalam peperangan itu tidaklah seimbang atau hampir-hampir seimbang.

Jumlah kaum Musyrikin kira-kira 1,000 orang. Mereka keluar untuk berjuang menyahut seruan Abu Suffian yang meminta pertolongan untuk melindungi kafilah perniagaan yang ada bersamanya. Mereka (keluar) lengkap dengan alat-alat senjata dan dengan penuh semangat untuk mempertahankan harta kekayaan mereka dan perasan fanatik untuk mempertahankan maruah dan kehormatan mereka.

Jumlah kaum Muslimin pula hanya kira-kira 313 orang. Mereka keluar bukanlah untuk memerangi kumpulan Musyrikin yang kuat ini, malah keluar kerana satu tujuan yang mudah, iaitu menghadapi dan menyekat kafilah perdagangan Quraisy yang tidak bersenjata itu.

Selain jumlah mereka yang kecil, mereka juga mempunyai persiapan senjata yang sedikit. Selain itu, di belakang mereka di Kota Madinah terdapat kaum Musyrikin yang masih mempunyai kekuatan dan kaum Munafikin yang mempunyai kedudukan yang kuat dan kaum Yahudi yang sentiasa menunggu-nunggu peluang untuk menghancurkan mereka.

Kaum Muslimin pada waktu itu merupakan satu golongan kecil di tengah-tengah lautan manusia kafir dan musyrik di Semenanjung Tanah Arab. Ketika itu sifat mereka sebagai orang-orang Muhajirin yang terusir dari Mekah dan sifat sebagai orang-

orang Ansar yang melindungi para Muhajirin itu masih belum hilang lagi. Namun demikian, mereka adalah tumbuhan-tumbuhan yang belum lagi mantap dalam masyarakat itu.

(taken from http://koleksi-ilmiah.blogspot.com/)


Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir...

Assalammualaikum..

renungkan.. semoga ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya..

Wahai insan, renunglah engkau akan nasib diri
Wahai qalbu, sedarkah engkau akan gerak hati
Wahai aqal, terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi

Andai ini merupakan Ramadhan ku yang terakhir kali
Buatku sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian...adalah sesuatu yang pasti.....

Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya aku sibuk berzikir
"a'la bizikrallahi tat mainnal qulub"
[Bukankah dgn berzikir itu hati akan menjadi tenang..]
Biarpun anak tekakku kering kehausan air
Tentu aku tak akan jemu melagukan syair
Rindu mendayu..
Merayu...
Kepada-NYA Tuhanku yang satu...


Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatku dikerjakan di awal waktu
Solat
yang dikerjai...
Sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu...bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil...
Menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekelian alam]


Andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan aku persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal ku dendang...bakal ku syairkan


Andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu aku sibukkan dengan
Berterawih.. .
Berqiamullail. ..
Bertahajjud. ..
Mengadu...
Merintih...
Meminta belas kasih....
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MUtapi. ..aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Oleh itu duhai Ilahi...
Kasihanilah daku hamba-MU yang...
Hina..
Dhaif..
Jahil..
Lagi Banyak Dosa ini..
Menikmati bulan yg dirindui oleh nabi dan sahabatNya..
Moga setiap langkah ku zuhud kepada MU..
Moga ku istiqamah di ramadhan ini..


ANDAI AKU TAHU INI RAMADHAN TERAKHIR………